SEJARAH BAHAGIAN LATIHAN PERHUTANAN KEPONG

Bagi melatih kakitangan Jabatan, Sekolah Perhutanan Kepong (SPK) telah ditubuhkan dalam tahun 1926 dan merupakan satu-satunya "Pusat Latihan Perhutanan" yang tertua untuk "Pegawai-pegawai Berpakaian Seragam" di Semenanjung Malaysia ini. Pada peringkat awalnya, SPK hanya digunakan untuk melatih "Penjaga Hutan (Forest Guard)" yang perlu menjalani kursus setahun sebagai syarat perkhidmatan untuk dilantik ke dalam jawatan "Pengawas Hutan II (Forester Grade II)".

YAB Tun Hj. Abdul Razak bin Hussein merasmikan Kolej Perhutanan Kepong pada 21 Julai, 1973
Sistem Perkhidmatan pegawai berpakaian seragam ini kemudiannya diubahsuai dan jawatan Penjaga Hutan dimansuhkan. Pertukaran akibat dari skim perkhidmatan ini menyebabkan pada pertengahan tahun 1970, SPK menyediakan pula kursus untuk "Buruh Hutan dan Anak Perahu (Boatman)" - lulus dalam peperiksaan awal ini membolehkan mereka mendapat Sijil Perhutanan untuk ke jawatan "Pengawas Hutan". Amalan yang berkenaan juga tidak lama, berikutan dengan "Skim Baru" untuk pegawai berpakaian seragam yang diperkenalkan pada tahun 1984. Melalui skim baru dua bentuk kursus diadakan iaitu "Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan".


Pelatih-pelatih Sekolah Perhutanan Kepong pada tahun 2010


Untuk menampung keperluan tenaga manusia dalam industri pembalakan maka pada tahun 1973, Pusat Latihan Membalak telah ditubuhkan di Terengganu dengan kerjasama Kerajaan New Zealand. Pusat ini melatih pekerja-pekerja mahir bumiputera dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pembalakan untuk dibekalkan kepada industri pembalakan.

Dalam tahun 1980 skop latihan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah di perkembangkan dengan mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi semua pegawai-pegawai perhutanan. Dengan ini juga semua pusat latihan di atas ditingkatkan dan disepadukan menjadikan Bahagian Latihan Perhutanan, JPSM dan latihan di bahagian ini telah berkembang dari semasa ke semasa.
Bahagian Latihan Perhutanan (BLP) JPSM telah terbahagi kepada 4 seksyen pada Februari, 2009. Seksyen-seksyen berikut adalah:
- Seksyen Pentadbiran
- Seksyen Pembangunan Latihan & Kerjaya
- Instittut Latihan Perhutanan (FORTRAIN)
- Pusat Latihan Perhutanan Terengganu (PLPT)